Kursus Praperkahwinan
PERATURAN-PERATURAN PENTADBIRAN
YANG PERLU DIPATUHI BAGI MENGANJURKAN
KURSUS PRA PERKAHWINAN
OLEH
JABATAN HAL EHWAL UGAMA ISLAM NEGERI KELANTAN
1. Pemakaian
Peraturan ini sah digunapakai hanya di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.
2. Permohonan
Permohonan hendaklah dipelawa kepada semua masyarakat beragama Islam yang ingin berkahwin, lelaki berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan perempuan berumur tidak kurang daripada 16 tahun kecuali dalam keadaan-keadaan yang tertentu setelah mendapat persetujuan urusetia kursus.
3. Bahagian Yang Menjalankan Kursus
3.1. Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga adalah diberi tanggungjawab melaksana, menyelia dan menyelaras Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI) di Negeri Kelantan dibawah penyelarasan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga sebagaimana berikut :
3.2. Unit Pembangunan Keluarga adalah urusetia Kursus Peringkat Negeri.
3.3. Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Jajahan adalah urusetia Kursus Peringkat Jajahan.
4. Menerima Permohonan
Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Jajahan adalah bertanggungjawab untuk mengurus permohonan kursus diperingkat Jajahan seperti berikut :
4.1 Menerima permohonan peserta untuk menghadiri kursus melalui borang yang ditetapkan.
4.2 Menerima bayaran kursus daripada peserta dan mengeluarkan resit bayaran.
4.3 Mendaftar permohonan peserta dan menentukan tarikh kehadiran kursus berserta peraturan kursus yang ditetapkan
4.4. Memaklumkan kepada urusetia negeri tarikh penetapan kursus dan bilangan peserta untuk tindakan berkaitan selanjutnya.
5. Tempat Kursus
Kursus hendaklah diadakan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Jajahan atau di mana-mana tempat yang disetujui oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dari semasa ke semasa.
6. Bilangan Peserta
Bilangan peserta hendaklah tidak kurang daripada 60 orang dan tidak melebihi 100 orang bagi setiap sesi kursus yang dijalankan.
7. Bayaran.
Setiap bayaran yang hendak dikenakan atau yang hendak dibayar hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa Kerajaan Negeri Kelantan.
8. Tempahan Buku 'Memasuki Gerbang Perkahwinan'
Tempahan buku 'Memasuki Gerbang Perkahwinan' hendaklah daripada pembekal tunggal iaitu Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan sekiranya berlaku penyelewengan pihak urusetia berhak untuk menolak daripada menerima bekalan buku tersebut.
9. Tanggungjawab Urusetia
9.1. Hendaklah menyediakan jadual kursus yang mengandungi tajuk ceramah dan nama pemudahcara pada setiap kali kursus diadakan.
9.2. Hendaklah mengadakan taklimat kursus kepada peserta diantara 10 hingga 15 minit mengenai kehadiran, ketepatan masa kursus, pengeluaran sijil dan kemudahan-kemudahan yang ada di tempat kursus.
9.3. Hendaklah menyediakan borang pendaftaran ringkas bagi setiap peserta kursus sebagai rekod bagi tujuan kajian atau rujukan ke atas perkara-perkara berbangkit mengenai kursus.
9.4. Hendaklah mengedarkan senarai nama peserta kepada peserta kursus di dalam dewan dan memastikan peserta menandatangani kehadiran pada setiap sesi ceramah.
9.5. Hendaklah memastikan pemudahcara menepati masa permulaan kursus dan masa akhir kursus mengikut jadual yang ditetapkan oleh urusetia. .
9.6. Dilarang menayangkan video dan kaset bagi menggantikan pemudahcara yang tidak hadir.
9.7. Membenarkan pemudahcara menyemak senarai peserta kursus bagi memastikan jumlah peserta kursus adalah sama seperti yang tercatat di dalam senarai peserta sebelum menandatangani senarai tersebut.
9.8. Hendaklah menyerahkan kepada Penyelaras Kursus Negeri, senarai nama peserta, nombor kad pengenalan dan nombor sijil yang telah dikeluarkan kepada peserta kursus bagi kursus yang telah dianjurkan
9.9. Hendaklah menyimpan sesalinan kad pengenalan peserta dari hari pendaftaran sehingga sijil diserahkan kepada peserta.
9.10. Setiap kursus hendaklah meliputi 10 kertaskerja atau tajuk-tajuk yang telah ditetapkan.
9.11. Kursus yang dianjurkan hendaklah pada hari-hari berkerja kecuali bagi keadaan-keadaan tertentu setelah mendapat kebenaran daripada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.
9.12. Menyediakan borang penilaian kursus oleh peserta.
9.13. Menyediakan soalan ujian kefahaman secara objektif mengikut tajuk dengan 10 markah bagi setiap tajuk.
10. Peraturan Kepada Peserta Kursus
Setiap peserta hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan, antaranya;
10.1 Peserta kursus hendaklah berpakaian sopan dan menutup aurat serta menjaga akhlak yang baik semasa di dalam dewan dan di persekitaran tempat kursus.
10.2 Peserta kursus hendaklah menepati masa permulaan setiap sesi ceramah sepanjang masa kursus.
10.3 Peserta kursus diwajibkan mengikuti semua sesi ceramah yang telah ditetapkan.
10.4 Peserta dilarang makan atau minum atau berbual-bual semasa sesi ceramah sedang berjalan.
10.5 Peserta hendaklah sentiasa memberi tumpuan kepada ceramah.
10.6 Peserta hendaklah sentiasa berada di dalam dewan kuliah semasa ceramah.
10.7 Peserta yang menunjukkan budi pekerti yang tidak baik terhadap mana-mana penceramah semasa ceramah sedang berjalan boleh dilarang daripada terus mengikuti kuliah dan sijil tidak akan dikeluarkan.
11. Pengeluaran Sijil
11.1. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan hanya akan mengeluarkan sijil kepada peserta setelah berpuashati dengan pencapaian peserta, antaranya;
11.1.1. Menghadiri semua sesi ceramah secara berdaftar.
11.1.2. Mendapat pengesahan kehadiran dari pemudahcara bagi setiap sesi ceramah.
11.1.3. Lulus ujian pemahaman.
11.1.4. Tidak melanggar peraturan atau batas akhlak yang ditetapkan.
11.2. Sijil akan dikeluarkan pada hari-hari kerja sehari berikutnya setelah kursus sempurna ditamatkan.
11.3. Bagi peserta yang kehilangan Sijil Kursus Pra Perkahwinan dan ingin memohon kebenaran berkahwin, peserta tersebut hendaklah mengemukakan surat permohonan kepada;
Ketua Penolong Pengarah,
Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam,
Negeri Kelantan.
dan hendaklah mengandungi butir-butir seperti nama peserta, tarikh menghadiri kursus, nombor kad pengenalan dan nombor sijil yang telah dikeluarkan. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak akan mengeluarkan sijil untuk kali kedua.
11.4. Sijil-sijil yang dikeluarkan tidak dianggap sah, jika didapati ada kesan dipadamkan atau kekotoran pada ruang nama peserta.
11.5. Sijil yang rosak atau yang tidak boleh digunakan hendaklah dikemuka- kan kepada Jabatan semasa memohon sijil baru.
11.6. Bagi peserta yang tidak berjaya memperolehi sijil setelah tamat kursus, boleh menghadiri semula kursus bagi mana-mana subjek/kertas yang tidak dihadiri atau tidak lulus dengan terlebih dahulu menyempurnakan bayaran sebanyak RM 20.00
12. Syarat Kepada Pemudahcara
Pemudahcara yang dilantik hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan seperti berikut ;
12.1. Pemudahcara hendaklah memiliki Sijil Pemudahcara yang dikeluarkan oleh JAHEAIK atau JAKIM atau mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia.
12.2. Pemudahcara hendaklah menyampaikan ceramahnya mengikut Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam yang telah ditetapkan dan berlandaskan Mazhab As-Syafi'e serta Akidah Ahli Sunnah Wal- Jamaah.
12.3. Pemudahcara hendaklah berpakaian kemas sekurang-kurangnya ber- baju kemeja berlengan panjang, berseluar panjang dan berkasut.
12.4. Pemudahcara dilarang menyentuh personaliti tertentu bertujuan meng- hina atau mencela.
13. Kesalahan-Kesalahan
Penyelaras kursus adalah berhak mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk tindakan tatatertib kepada urusetia yang bertanggunjawab kepada mana-mana kursus yang dianjurkan apabila terbukti terlibat dengan satu atau lebih kesalahan yang digariskan seperti berikut;
13.1. Tidak menyediakan borang pendaftaran kepada peserta kursus dan tidak menyimpan rekod kursus.
13.2. Tidak menyediakan jadual kursus yang sempurna pada setiap kali kursus diadakan.
13.3. Mengeluarkan Sijil Kursus Pra Perkahwinan tanpa kehadiran penuh peserta.
13.4. Tidak mengedarkan borang tandatangan kehadiran peserta pada setiap sesi ceramah
13.5. Tidak mengikuti Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI).
13.6. Pemudahcara yang dilantik tidak memiliki Sijil Pemudahcara dariJabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan atau dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri Malaysia.
13.7. Pemudahcara atau peserta tidak menepati masa mula dan akhir kursus yang telah ditetapkan.
13.8. Pakaian pemudahcara atau peserta tidak sopan dan tidak menutup aurat.
13.9. Tidak membenarkan pemudahcara menyemak senarai kehadiran peserta sebelum ditandatangani.
13.10. Menyentuh personaliti tertentu dengan tujuan menghina atau mencaci atau merendah-rendahkan.
13.11. Ceramah yang diberikan bertentangan dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
13.12. Bertindak secara bertentangan dengan polisi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
13.13. Menipu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dengan apa jua cara.
13.14. Merosakkan imej Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan
13.15. Mengenakan bayaran kepada peserta kursus melebihi had yang ditetapkan.
13.16. Menganjurkan kursus di luar Negeri Kelantan dengan menggunakan apa-apa kedudukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
13.17. Menayangkan video atau rakaman video atau kaset bagi menggantikan penceramah yang tidak hadir.
13.18. Menyentuh urusan pentadbiran mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia.
14. Pengecualian
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan mempunyai budibicara untuk mengecualikan mana-mana pemohon yang akan berkahwin daripada menghadiri kursus perkahwinan setelah berpuashati dengan laporan penyelaras kursus.
15. Pindaan Peraturan
Peraturan ini tertakluk kepada pindaan atau arahan yang dibuat dari semasa ke semasa oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.